Portal Rasmi MyGovCloud@CFA Jabatan Digital Negara

Microsoft Umum Pembukaan Pusat Data Pertama di Malaysia

Microsoft mengukuhkan lagi komitmennya terhadap transformasi digital Malaysia dengan mengumumkan pembukaan pusat data pertama di negara ini menerusi pelancaran rantau awan Malaysia Barat yang dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2025. Terletak di Kawasan Kuala Lumpur Raya, kemudahan ini akan menjadi asas kepada penyampaian teknologi awan Microsoft secara tempatan.

Menurut laporan IDC bertajuk “Microsoft Cloud Dividend Snapshot”, inisiatif ini dijangka menyumbang AS$10.9 bilion (kira-kira RM51 bilion) kepada ekonomi tempatan dan mencipta 37,575 pekerjaan baharu menjelang tahun 2028 – termasuk 5,700 pekerjaan mahir dalam bidang IT.

Pelaburan ini menandakan satu pencapaian penting sepanjang 33 tahun kehadiran Microsoft di Malaysia, dan sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadi hab teknologi dan inovasi digital serantau. Rantau awan ini bakal menawarkan organisasi tempatan akses kepada teknologi Microsoft yang selamat, boleh dipercayai dan mematuhi keperluan mastautin data, membolehkan mereka meningkatkan kecekapan dan daya saing digital.

Selain infrastruktur, Microsoft turut melabur dalam pembangunan bakat tempatan. Inisiatif AI untuk Masa Depan Malaysia (AIForMYFuture) menyasarkan untuk melengkapkan 800,000 rakyat Malaysia dengan kemahiran AI menjelang akhir 2025, melengkapkan program Bersama Malaysia yang telah melatih lebih 1.53 juta rakyat dalam kemahiran digital.

“Rantau awan Malaysia Barat bukan sekadar sebuah pusat teknologi – ia adalah pemangkin ekonomi digital negara dan pintu masuk kepada masa depan AI,” kata Laurence Si, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia. “Sebagai rakan digital yang dipercayai selama lebih tiga dekad, Microsoft akan terus menyokong aspirasi digital Malaysia melalui pelaburan strategik dalam infrastruktur, bakat dan inovasi,” tambah beliau.


Dr. Andrew Lau, Pengarah Program Strategik Microsoft Malaysia, turut menyatakan bahawa rantau awan baharu ini bakal memperkukuh daya saing Malaysia dalam ekonomi digital serantau dan menarik pelaburan global melalui kesiapsiagaan teknologi yang termaju.

Sumber:
Microsoft Malaysia. (2025, 20 Mac). Microsoft umum pembukaan pusat data pertama di Malaysia, pacu pertumbuhan ekonomi RM51 bilion dan 37,575 pekerjaan baharu menjelang 2028 [Siaran media].