Portal MyGovCloud@CFA

LATAR BELAKANG MYGOVCLOUD

1GovCloud telah dilancarkan secara rasmi oleh YB Datuk Joseph Entulu anak Belaun Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 1 Julai 2013. Pada tahun 2020 telah dijenamakan semula sebagai MyGovCloud. Seterusnya, Dasar Pengkomputeran Awan Sektor Awam telah dikeluarkan oleh MAMPU (kini dikenali sebagai JDN) pada tahun 2021 sebagai panduan bagi merealisasikan hasrat Kerajaan. Maka, wujudnya perkhidmatan gabungan MyGovCloud yang terbahagi kepada MyGovCloud@PDSA dan MyGovCloud@CFA.

Sebagai langkah memantapkan lagi perkhidmatan pengkomputeran awan, pihak Kerajaan telah menjalin kerjasama dengan penyedia perkhidmatan pengkomputeran awan (cloud) komersil tempatan dan antarabangsa melalui Cloud Framework Agreement (CFA) bersama Telekom Malaysia (TM), Google Cloud, Amazon Web Services (AWS) dan Microsoft  ke arah perkongsian sumber pengkomputeran awan secara guna sama yang lebih meluas kepada semua agensi di sektor awam.

Cloud Framework Agreement (CFA) merupakan dokumen kontrak antara Kerajaan melalui JDN dengan Cloud Service Provider (CSP) dan Managed Service Provider (MSP) yang dilantik oleh Kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan cloud kepada semua Agensi Kerajaan. CFA akan dikawal selia oleh JDN sebagai agensi teknikal yang bertanggungjawab ke atas Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Sektor Awam. Pelaksanaan obligasi di bawah CFA akan dipantau oleh JDN sebagai pentadbir kontrak.